Utusan:SEREMBAN 7 Nov. - Alumni Kelab UMNO Luar Negara membidas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk r. Chua Soi Lek yang mendakwa lebih 100 pelajar yang kebanyakannya dibiayai oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), tidak pulang ke tanah air sehingga menyebabkan kerajaan menanggung kerugian hingga RM60 juta.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Mohamad Rais Zainuddin berkata, kebanyakan pelajar Mara yang didakwa oleh Soi Lek hidup senang lenang di luar negara sebenarnya sedang melanjutkan pengajian dan meningkatkan kepakaran mereka.
Katanya, pelajar terbabit sedang menjalani latihan kedoktoran, kepakaran dan sub-specialist di United Kingdom yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
``Beliau sepatutnya memanggil balik pelajar persendirian yang bekerja sepenuh masa di Ireland, bukannya menyuruh pelajar Mara yang menjalankan latihan kedoktoran di sana pulang ke tanah air.
``Apa yang beliau patut lakukan ialah mendesak pelajar persendirian yang kebanyakannya pelajar berketurunan Cina untuk pulang segera selepas tamat pengajian. ``Tidak timbul isu pelajar ditaja mesti pulang atau tidak ditaja tidak perlu berbuat demikian kerana soal berkhidmat di tanah air adalah soal jati diri dan kesetiaan pelajar persendirian terbabit pada negara,'' katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Soi Lek selepas melawat Royal College of Surgeons of Ireland dan University College Dublin di Ireland yang menempatkan kira-kira 1,000 pelajar Malaysia.
Soi Lek berkata, kebanyakan pelajar perubatan tidak pulang untuk menunaikan syarat perjanjian dan tidak membayar balik duit yang diberikan sebagai biasiswa perubatan.
Beliau mendakwa, selepas menamatkan pengajian, kebanyakan mereka hanya tinggal dengan selesa di luar negara dengan meraih banyak wang dan turut mempengaruhi pelajar Malaysia lain untuk tidak pulang ke tanah air.
Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tenaga, Air dan Komunikasi Negeri Sembilan berkata, pada masa ini terdapat 1,137 pelajar Malaysia di Ireland dengan 1,032 daripada mereka sedang mengikuti pengajian perubatan.
``Daripada pecahan itu, 395 pelajar di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pinjaman Mara (392), tajaan Petronas (13) dan pembiayaan persendirian (207).
``Hanya pelajar JPA yang wajib pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajian untuk melakukan housemanship selama tiga tahun mengikut Akta Perubatan 1971.
``Bagi pelajar Mara dan lain-lain mereka tidak perlu melakukan housemanship tetapi perlu bayar hutang pinjaman,'' katanya.
No comments:
Post a Comment